Kebanyakan di kalangan graduan-graduan IPT tempatan menyambut baik saranan dan proses pembaharuan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang membenarkan ahli politik memasuki universiti dan ini merupakan perubahan yang positif terhadap sistem dan pendekatan pembelajaran di IPT di negara ini.
Selaku sebuah NGO yang terdiri daripada bekas-bekas graduan IPT tempatan, Persatuan Usrah Kebajikan Profesional Malaysia (UKP) amat gembira dengan perubahan yang dilakukan dan ia wajar disokong oleh seluruh warga akademik dan mahasiswa.
Perkara ini merujuk kepada pindaan terhadap AUKU yang membenarkan pemimpin-pemimpin parti politik, termasuk pembangkang yang boleh memberikan ceramah kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) apabila Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang dalam proses bacaan kali kedua di Dewan Rakyat Ogos ini, diluluskan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata mereka dibenarkan berbuat demikian dengan syarat memberi ceramah mengenai isu yang ada kaitan dengan pengajian dan akademik mahasiswa.
Setelah mahasiswa dan IPT tempatan mengalami zaman suram seperti sikap dan budaya kepimpinan, gejala sosial di kalangan pelajar IPT dan penurunan kedudukan universiti-universiti tempatan dalam penarafan yang dikeluarkan oleh Times Higher Education Supplement (THES) setiap tahun yang sedikit mencemarkan kredibiliti Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia.
Tindakan proaktif untuk ‘menyelamatkan’ mahasiswa dan IPT sebagai asset masa depan negara dari terus mengalami zaman suram wajar digerakkan dan tidak lagi kita nafikan dengan pendekatan yang menyekat peluang dan ruang pembelajaran hanya di dalam bilik-bilik kuliah sahaja.
Secara asasnya mahasiswa di Malaysia semakin meningkat dari segi daya intelektualnya berbanding 10 hingga 20 tahun lalu akibat ledakan globalisasi yang kian terbuka dan tanpa halangan. Namun pengajian di dalam bilik kuliah masih mengikat mahasiswa dengan teori-teori dan kaedah pembelajaran berasaskan peperiksaan yang mungkin sudah lapuk dan menyekat pengembangan daya pemikiran mahasiswa.
Malaysia telah melahirkan ramai tokoh-tokoh pemimpin politik pelbagai bangsa yang telah menunjukkan kredibiliti dan pengorbanan yang besar terhadap pembangunan negara. Adalah wajar mereka diberikan peluang untuk memberikan buah fikiran yang dapat membantu pembelajaran mahasiswa melihat dalam perspektif yang lebih meluas dan melangkaui teori-teori di bilik kuliah.
Selain itu, pemimpin-pemimpin politik di negara ini kebanyakkannya lahir dari teras masyarakat. Mereka banyak bergelumang dengan karenah masyarakat yang pelbagai dan kemudiannya mereka muncul sebagai pemimpin yang hebat dan faham tentang proses-proses pengembangan masyarakat dalam konteks sosial di negara ini.
Mereka pasti mempunyai beberapa teori-teori terbaru tentang hakikat kebudayaan, kemasyarakatan, kepimpinan, ekonomi, dan lain-lain lagi yang boleh dinilai dan diakui dari konteks yang berbeza dari hujah-hujah ahli akademik.
Proses ini adalah suatu peluang kepada ahli akademik dan mahasiswa menilai dan memahami teori sesuatu bidang dan membuka percambahan ilmu yang lebih pesat.
Dalam konteks yang lain, pemimpin-pemimpin politik ini juga akan menjadi contoh dan teladan yang baik kepada mahasiswa terutama dalam bidang kepimpinan dan khidmat sosial. Mahasiswa perlu diberikan peluang untuk mereka membina daya kepimpinan mereka melalui proses teladan yang baik dan kepelbagaian daya kepimpinan yang dekat dengan hati masyarakat di Malaysia .
Akhirnya, proses ini dilihat mampu membersihkan pandangan kebanyakan masyarakat terhadap politik yang selalunya dilihat kotor dan penuh dengan sifat-sifat negatif. Ia juga membuka ruang kepada ahli politik meluaskan sumbangan ke arah kepimpinan melalui teladan yang seharusnya digarapkan dalam minda generasi muda di negara ini terutamanya golongan mahasiswa
MOHAMMAD RADZI BIN ZAWAWI
Presiden,
Persatuan Usrah Kebajikan Profesional Malaysia (UKP)






BEKAS Perdana Menteri dan Presiden Umno selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membuat kejutan dengan mengumumkan keluar dari parti tersebut di kampung halamannya, Kedah.







